AGENDANASIONAL

TH fokus cegah penyakit dalam kalangan jemaah

MAKKAH, 21 JUL : Lembaga Tabung Haji (TH) fokus untuk mencegah sebarang penyakit dalam kalangan jemaah dan giat melaksanakan pelbagai langkah antaranya lawatan bilik ke bilik jemaah bagi merealisasi hasrat itu.

Ketua Unit Kesihatan Awam TH Dr Johari Awang Besar berkata sebenarnya ramai jemaah haji sudah mempunyai pengetahuan tentang pencegahan penyakit dan cara menjaga diri mereka di Tanah Suci, namun jemaah perlu bersikap prihatin serta mengamalkan pengetahuan itu.

“Bagi saya kalau buat pencegahan dengan bercakap kepada jemaah itu kos sangat rendah berbanding merawatnya dan yang penting jemaah kekal dalam keadaan terbaik untuk beribadah di sini jika sakit sukar untuk mereka beribadah, kita harap jemaah dapat ikut nasihat kita.

“Dalam melaksana langkah pencegahan dengan lebih berkesan kita akan mengadakan lawatan bilik ke bilik untuk memberi nasihat dan membuat pemeriksaan secara terperinci setiap jemaah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bilik ke bilik jemaah di sini hari ini.

Tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadah haji dengan lebih 13,000 orang telah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas TH.

Dr Johari berkata pasukannya dengan kekuatan empat petugas tetap bersama bantuan petugas perubatan lain juga akan bertindak mengenal pasti jemaah haji yang berisiko dengan kerjasama klinik dan maktab penginapan

“(Jemaah) berisiko 35 orang dikenal pasti (masa ini) dan kita akan sentiasa kemas kini bila kenal pasti jemaah berisiko lain, jemaah berisiko ini layak datang ke sini tetapi dalam rekod kesihatannya punyai diagnosis penyakit seperti pesakit buah pinggang perlu rawatan hemodialisis.

“Jemaah ini kita kena beritahu dan periksa supaya mereka makan ubat, kita juga kena nasihat supaya tidak terlalu agresif ketika berada di sini sehingga menjejaskan kesihatan mereka,” kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam itu.

Beliau berkata jemaah dalam kesihatan yang membimbangkan akan dipindahkan ke Pusat Rawatan TH Syisyah di sini untuk rawatan lanjut dan sekiranya memerlukan bantuan perubatan yang lebih kompleks seperti pembedahan akan dibawa ke Hospital Arab Saudi. -BERNAMA


Pengarang :