SUKANKINI

‘The Pocket Rocketman’ raih perak di Dublin

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat perak dalam acara sprint di kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa Dublin 2019 yang berlangsung di Sundrive Velodrome.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu kalah kepada Jason Kenny dari Great Britain dalam perlawanan akhir, pada Ahad.

Mullen Eoin dari Ireland membawa pulang gangsa selepas mengetepikan pelumba Sepanyol, Jose Moren Sanchez, dalam penentuan pingat gangsa acara sprint lelaki.

“Ia permulaan yang perlahan bagi saya di awal perlumbaan tetapi saya berjaya memberi saingan sehinggalah tamat perlumbaan.

“Memenangi pingat perak dalam acara Sprint Lelaki di samping Juara Olimpik Jason Kenny adalah pelengkap yang baik dalam Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa Dublin 2019,” kata Azizulhasni dalam hantaran di Instagramnya.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang meraih gangsa dalam acara keirin semalam, berkesudahan di tempat kelima manakala Muhammad Fadhil Mohd Zonis pula menamatkan saingan di tangga ke-12.

Terdahulu, Azizulhasni berada di tempat keenam dalam pusingan kelayakan selepas beliau mencatatkan masa 10.973 saat.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom mencatatkan masa kedua terbaik 10.792s manakala Muhammad Fadhil Mohd Zonis di tempat ke-13 dengan masa 11.315s.

-BERNAMA

 


Pengarang :