PBTSELANGOR

Tiada lagi straw plastik di kantin MPSJ

SUBANG JAYA, 24 JULAI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kini tidak lagi menyediakan penyedut minuman plastik di kantin premis milik mereka.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkurnain Che Ali berkata, langkah itu selaras kempen mengurangkan penggunaan straw oleh Kerajaan Selangor menjelang 2025.

“Pada masa sama, MPSJ juga mengingatkan kesemua pemilik premis makanan supaya tidak menggunakan straw plastik memandangkan Kerajaan Negeri sudah memberi ingatan sebelum ini.

“Untuk makluman, lesen yang dikeluarkan MPSJ juga menasihatkan pemilik premis makanan supaya tidak menggunakan plastik serta mengurangkan penggunaan straw.

“Bagi tujuan itu, kami turut mengedarkan surat rasmi kepada semua pemilik premis supaya tidak lagi menggunakan penyedut minuman berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ, di sini hari ini.

Turut sama, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Berkuat kuasa 1 Julai lalu, semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pemilik premis juga dilarang menyediakan straw plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan.

Katanya, dasar itu juga selaras Kempen Bebas Plastik yang sedang dijalankan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastics) seperti beg plastik, polistirena, penutup/pelapis makanan plastik dan bahan plastik pakai-buang.

Ia bertujuan mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran penduduk berhubung kesan jangka panjang penggunaan plastik sekali guna khususnya straw plastik terhadap kesihatan dan alam sekitar.


Pengarang :