EXCOSELANGOR

Tiada pembalakan haram di Bandar Kinrara

PUCHONG, 19 JUL: Penduduk Bandar Kinrara, Puchong tidak perlu bimbang susulan dakwaan berlakunya pembalakan di kawasan itu sebaliknya ia adalah kerja-kerja pembinaan tangki air dan jajaran paip projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, hanya 27 batang pokok berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam akan ditebang sepanjang dua kilometer jajaran paip air dari Bandar Kinrara ke Bukit Dengkil, Puchong tanpa melibatkan kerja-kerja pengeluaran pokok.

“Saya ingin memberikan jaminan tiada aktiviti pembalakan haram berlaku di kawasan hutan simpan (Ayer Hitam). Semua 27 pokok ditebang itu akan dibiarkan dalam hutan dan tidak dikeluarkan menggunakan jalan utama.

“Ada penduduk yang menghubungi saya, mereka risau berlakunya pembalakan. Sebenarnya tidak berlaku dan semua kerja-kerja ini mendapat kebenaran daripada agensi bertanggungjawab supaya dapat disiapkan mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Kerja-kerja pembinaan LRA Langat 2 bagi kawasan Puchong yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun ini membabitkan pembinaan satu tangki air berkapasiti 80 juta liter dan paip air sepanjang 2 kilometer.

Setakat ini, kerja pembersihan tapak untuk pembinaan tangki air di BK6 bersebelahan Duet Residensi sudah siap dan pembinaannya akan bermula selepas mendapat permit kelulusan.

Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara berkata, kawasan sepanjang 13 kilometer di Puchong akan terlibat dalam kerja-kerja pembinaan LRA Langat 2.

“Pembinaan (LRA Langat 2) ini penting kerana banyak pembangunan di sini dan permintaan air terawat agak tinggi serta untuk meningkatkan paras air di Selangor.

“Sekiranya berlaku penyelenggaraan di masa hadapan, kita akan ada simpanan air mencukupi,” katanya.

Projek LRA Langat 2 dengan kos pembinaan berjumlah RM8 bilion, dijadual siap sepenuhnya pada 2022 dan berupaya membekalkan 1,130 MLD, mencukupi untuk kegunaan penduduk Lembah Klang.


Pengarang :