NASIONAL

Tidak boleh digelar Permaisuri, Raja Perempuan Kelantan tanpa pengumuman rasmi

KOTA BHARU, 16 JULAI: Tiada sesiapa boleh digelar Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau ‘Queen of Kelantan’ tanpa pengumuman rasmi daripada Istana.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam satu kenyataan berkata, hanya pengumuman rasmi daripada Istana Kelantan boleh diambil kira sebagai berita tepat dan diterima pakai rakyat serta pengamal media.

“Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra adalah Tengku Mahkota Kelantan dan bonda Sultan Muhammad V, Yang Maha Mulia Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid digelar Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis,” katanya.

Sehubungan itu, pihak Istana menyeru supaya rakyat dan pengamal media tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial.

-BERNAMA


Pengarang :