BERITA UTAMA

Tidak tolak unsur sabotaj punca pencemaran air di Sungai Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 22 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tidak menolak dakwaan berlakunya unsur sabotaj mencemarkan Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini ditutup.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati berlaku tumpahan 100 liter minyak diesel atau benzena dari pontun yang sudah tidak beroperasi di Sungai Selangor.

“Saya lihat tadi, tidak mungkin salur minyak dari pontun itu terkeluar kerana angin atau hujan tapi sebaliknya ia disebabkan ada mekanikal atau orang yang keluarkan minyak berkenaan.

“Oleh itu, saya tidak menolak ada unsur sabotaj atau kecuaian mahupun perbuatan kurang wajar dikaitkan,” katanya pada sidang media di LRA SSP2 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal-Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Shuhaimi Kamarulzaman.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, laporan polis sudahpun dibuat Kumpulan Semesta Sdn Bhd berhubung kejadian berkenaan.

“Ini kerana pontun berkenaan dimiliki syarikat berkenaan, namun sebelum ini diuruskankontraktor dilantik untuk menjalankan kerja pengorekan pasir.

“Saya difahamkan pontun itu sudah mula beroperasi bermula 2013 namun tidak beroperasi sejak dua bulan lalu,” katanya.

Terdahulu dilaporkan sebanyak 1,133 kawasan membabitkan 1,166,842 akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Sementera itu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, gangguan bekalan air adalah insiden kedua dalam tempoh tiga hari membabitkan penutupan keempat-empat LRA yang menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan.

Pelanggan terjejas termasuk di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :