SELANGOR

Tiga kaki pancing antara disyaki terbabit pencemaran Sungai Selangor

KUALA SELANGOR, 22 JUL: Tiga kaki pancing antara yang disyaki menjadi dalang pencemaran Sungai Selangor sehingga menyebabkan ganguan kepada hampir satu juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, perkara itu berdasarkan laporan polis dibuat pekerja sebuah syarikat pengepam pasir pada jam 10.30 malam tadi.

Katanya, pekerja terbabit memaklumkan terdapat dua hingga tiga individu memancing ikan di atas pontun pam pasir itu tiga hari lepas.

“Berdasarkan keterangan pengadu, pemancing berkenaan ditegur untuk tidak berada di atas pontun itu namun enggan beredar kerana sedang asyik memancing.

“Namun selepas diarahkan juga untuk beredar, berkemungkinan besar mereka telah melakukan perbuatan sabotaj,” katanya dalam sidang media di Loji Rawatan Air (LRA) SSP2 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, siasatan juga mendapati dua tong berisi minyak yang telah dicabutkan klip sehingga menyebabkan 100 liter minyak diesel keluar.

Katanya, oleh sebab itu pihaknya menjalankan siasatan bersama agensi lain serta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi memastikan sama ada kejadian itu disebabkan sabotaj ataupun kecuaian.

“Setakat ini, kita hanya mengetahui pemancing berkenaan menunggang motosikal,” katanya.

Sehingga kini kes disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu pengkhianatan dengan cara merosakkan kerja pengairan atau secara salah menyimpang aliran sungai.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara lima hingga 30 tahun atau kedua-duanya.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut tidak menolak kemungkinan kejadian pencemaran berkenaan disebabkan sabotaj.

Terdahulu Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar turut menggesa pihak polis menjalankan siasatan dan memastikan dalang di sebalik insiden terbabit diberkas serta dihukum dengan berat di bawah akta sedia ada.

Beliau berkata, pihaknya mengambil serius insiden terbaharu pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihentikan operasi hari ini.

Katanya, insiden itu sekali gus membebankan pengguna air di Selangor dan boleh dianggap sebagai satu tindakan sabotaj.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :