AGENDANASIONAL

Tiga pekerja resort dikhuatiri hilang

DUNGUN, 31 JUL : Tiga pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol dekat sini, dikhuatiri hilang di perairan Kuala Dungun, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata mangsa terbabit, Mohd Hafiz Abdul Rahim, 22, Mohamad Firdaus Mohd Awaluddin, 25, dan Fauzi Mohammad, 40, dilaporkan hilang selepas menaiki bot dari jeti Aking di Seberang Pintasan, di sini menuju ke Pulau Tenggol, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Difahamkan, sehingga 3 petang, mangsa belum tiba di Pulau Tenggol, namun usaha pihak pengurusan serta kakitangan Tenggol Island Resort menghubungi mereka tidak berjaya.

“Polis menerima laporan berkaitan orang hilang kira-kira pukul 4 petang, selepas usaha menghubungi mangsa beberapa kali oleh pihak resort gagal.

“Sebaik menerima laporan, kami memaklumkan perkara tersebut kepada agensi keselamatan lain seperti pihak Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Terengganu dan Polis Marin Kuantan untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Justeru itu, Baharudin berkata pihak polis membuka bilik gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

Menurut Baharudin, Mohamad Hafiz dan Fauzi Mohamad berasal dari Kampung Baru, Kuala Abang dekat sini, manakala Muhammad Firdaus pula berasal dari Kampung Parit Ibrahim Masjid, Simpang Renggam, Johor. -BERNAMA


Pengarang :