PBTSELANGOR

Tiga premis urut tanpa lesen disita

SUBANG JAYA, 21 JUL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyita tiga premis urut haram yang beroperasi tanpa lesen di sekitar Bandar Puteri Puchong, di sini, kelmarin.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, operasi bersepadu dilaksanakan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang berdasarkan hasil maklumat orang awam.

“Di dalam operasi ini, kita terpaksa memecah masuk ke premis berikutan keengganan pemilik membuka pintu premis dan hasil pemeriksaan mendapati ke semua premis tidak mempunyai sebarang dokumen berkaitan dan melakukan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

“Pemeriksaan juga mendapati terdapat pekerja wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut dan hasil siasatan menjumpai beberapa kondom yang belum digunakan.

“Ini membuktikan selain aktiviti urutan, premis ini juga ada menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zulkurnain berkata, tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2013 iaitu mengendalikan pusat urut tanpa lesen dari Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Katanya, di bawah klausa berkenaan, denda maksimum sebanyak RM1,000 boleh dikenakan terhadap pemilik premis.

“Selain itu, tindakan memecah semua struktur sekatan dinding di dalam premis juga t dikenakan di bawah Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu membuat sekatan dinding di dalam premis tanpa kebenaran MPSJ dan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500,” katanya.

Katanya, seramai 12 wanita warga asing dan dua orang penjaga premis ditangkap daripada ketiga-tiga premis. Semua yang ditangkap diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Pengarang :