PELANCONGAN

Tourism Malaysia manfaatkan pemasaran digital untuk TMM 2020

KUCHING, 20 JUL : Tourism Malaysia memanfaatkan pemasaran digital untuk meningkatkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong tahun hadapan.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata kempen itu menumpukan kepada pemasaran digital menerusi laman web TMM 2020, penggunaan tanda pagar VisitMalaysia2020, VM2020 dan MalaysiaTrulyAsia.

“Kami bersedia untuk melancarkan TMM 2020 dan menggunakan sepenuh kekuatan untuk menjangkau dunia dengan bantuan web,” katanya pada Program Ilek-Ilek yang dihadiri media, personaliti YouTube dan personaliti media sosial yang berpengaruh di Jalan Rubber di sini hari ini.

Di samping itu, Musa berkata usaha promosi TMM2020 juga dimulakan menerusi program Tourism Malaysia Mega Familiarisation (Mega Fam) yang mana pengamal media antarabangsa termasuk personaliti media sosial dan ejen pelancongan dijemput untuk merasai pengalaman pertama di Malaysia.

“Sejak awal tahun ini, seramai 86 peserta antarabangsa mengambil bahagian dalam empat program Mega Fam.

“Program Mega Fam merupakan satu daripada strategi pemasaran paling berkesan yang dilakukan oleh Tourism Malaysia. Sebanyak 80 peserta dari 10 negara mengambil bahagian dan menjana pulangan pelaburan sebanyak RM3.7 juta dalam nilai publisiti menerusi penghasilan pelbagai artikel, dokumentari dan publisiti media sosial,” katanya.

Musa berkata Tourism Malaysia juga memanfaatkan kewujudannya dalam media sosial yang mana sehingga 20 Jun lepas, pihaknya mempunyai 3.3 juta pengikut di Facebook, kira-kira 73,000 pengikut di Instagram dan 422,489 pengikut di Twitter serta 45.6 juta tontonan di YouTube.

“Kehadiran pelancong antarabangsa dari Januari hingga Mei tahun ini ialah 10,954,014 orang yang menunjukkan peningkatan positif sebanyak 4.8 peratus daripada 10,545,447 pelancong pada tempoh sama tahun lepas.

“Pasaran jarak dekat (ASEAN) dan sederhana merupakan penyumbang utama dengan peningkatan ketibaan masing-masing 4.7 peratus dan 7.6 peratus,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :