AGENSISELANGOR

Tourism Selangor anjur ROAR sempena SIIAF 2019

SHAH ALAM, 24 JULAI: Tourism Selangor bakal menganjurkan Recreational Orang Asal Run (ROAR) sempena Selangor International Indigenous Arts Festival (SIIAF) 2019 pada 4 Ogos ini di Taman Botani Negara Shah Alam, di sini.

Pengurus Acara Tourism Selangor, Faroul Mustafa berkata, program julung kali dilaksanakan itu
terbuka kepada umum lelaki dan perempuan bermula dari usia tujuh tahun dan ke atas, sepanjang lima kilometer.

“Kita mengalu-alukan orang ramai yang berminat mengambil peluang untuk mendaftarkan diri menyertai ROAR dan penyertaan masih dibuka sehingga 27 Julai ini.

“Yuran penyertaan pula adalah RM45 untuk warganegara, manakala RM60 bagi bukan warganegara dan mereka akan menerima kemeja-t, bib larian serta medal,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, selain larian, orang ramai berpeluang mencuba dan merasai pengalaman dengan pelbagai lagi aktiviti menarik berkenaan Orang Asal di program SIIAF 2019 yang diadakan selama dua hari bermula 3 Ogos.

“Antara acara menarik adalah demonstrasi menganyam, menyumpit dan melihat sendiri tarian kaum Orang Asal Mah Meri yang cukup sinonim di negeri ini.

“Kedua-dua acara yang direncanakan ini adalah hasil kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selaras Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendaftarkan diri di pautan http://www.heyjom.com/imgs/edm/roar/.


Pengarang :