(Photo by MANDEL NGAN / AFP)
AGENDAGLOBAL

Trump keluar kenyataan bercanggah berhubung isu S-400

WASHINGTON, 19 JUL : Presiden Donald Trump membuat beberapa kenyataan bercanggah pada Khamis berhubung isu sama ada Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan sekatan ke atas Turki susulan pembelian sistem anti-udara Rusia S-400, lapor agensi berita Anadolu.

Trump pada awalnya berkata sekatan itu tidak dipertimbang “ketika ini” sebelum memberitahu pemberita kemudian bahawa “kami sedang meneliti perkara tersebut.”

Beliau berkata situasi tersebut “amat amat sukar” dan terus menyalahkan pendahulunya, bekas Presiden Barack Obama, bagi pertikaian itu.

“Pentadbiran sebelum ini telah membuat beberapa kesilapan yang amat besar berkaitan isu Turki dan ia adalah sesuatu yang amat malang.

“Jadi kami sedang meneliti perkara itu, kami akan melihat apa yang kami boleh lakukan. Kami belum mengumumkannya,” kata Trump di Pejabat Oval semasa menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Belanda Mark Rutte.

Pentadbiran Trump pada Rabu memulakan proses untuk menyingkirkan Turki daripada program pesawat pejuang F-35 susulan pemerolehan S-400 oleh negara itu.

Penyingkiran itu dijangka selesai menjelang akhir Mac 2020.

Jurucakap Presiden Turki Ibrahim Kalin menzahirkan “ketidakselesaan” atas keputusan itu dalam satu perbualan telefon pada Khamis dengan Penasihat Keselamatan Negara AS John Bolton.

Kalin berkata tindakan itu tidak selari dengan kenyataan Trump dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sebelum ini.

Penyerahan komponen S-400 bermula minggu lepas dan masih berlangsung, dengan 15 penghantaran peralatan berkaitan yang mendarat di Turki setakat ini sejak tujuh hari lepas.

-BERNAMA


Pengarang :