Selangorkini
SERDANG, 23 Julai — Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019 Ahmad Faedzal Md Ramli (depan tiga, kiri) dan Nurul Huda Abdullah (depan dua, kiri) bergambar bersama pasukan bola jaring negara ketika membuat lawatan bagi melihat persiapan skuad negara menjelang Sukan SEA 2019 di Universiti Putra Malaysia hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDA SUKANKINI

Tugas berat pertahan pingat emas pada Sukan Sea 2019

SERI KEMBANGAN, 23 JUL: Atlet berstatus juara kini berdepan misi lebih mencabar untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Filipina, November ini.

Timbalan Ketua Kontinjen negara ke temasya dwi tahunan itu, Nurul Huda Abdullah berkata, sebagai juara bertahan, sudah pastinya atlet ataupun dalam acara berpasukan menjadi tumpuan lawan di gelanggang pertandingan.

Katanya, pasukan ragbi tujuh sepasukan (7s) dan skuad bola jaring khususnya bakal berdepan cabaran lebih getir untuk mempertahankan pingat emas masing-masing kerana negara pesaing dalam sukan masing-masing pasti melakukan persiapan rapi untuk berdepan Malaysia.

“Bagi atlit yang pergi bertanding buat pertama kali, mereka tidak bimbang kerana tiada pengharapan daripada sesiapa melainkan diri sendiri dan jurulatih.

“Tetapi bila anda pergi sebagai juara bertahan, pasukan lain berusaha untuk menumpaskan mereka. Jadi mereka perlu bergerak satu langkah ke hadapan bagi membolehkan mereka pertahankan gelaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat persiapan skuad ragbi 7s dan bola jaring negara di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Untuk rekod, skuad ragbi 7s Skuad ragbi negara mencipta sejarah terbesar dalam penyertaan Sukan SEA apabila meraih emas buat kali pertama menerusi pasukan lelaki tujuh sepasukan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Dalam aksi final KL2017, skuad ragbi 7s negara menewaskan musuh tradisi, Singapura 22-7.

Sebelum ini, belum pernah skuad lelaki negara memenangi pingat emas terutama dalam acara tujuh sepasukan sekali gus mengakhiri kemarau bertahun-tahun lamanya.

Pasukan bola jaring negara turut mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan kemarau meraih pingat emas selepas 16 tahun dalam temasya Sukan SEA selepas menang besar ke atas Singapura 65-41.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, atlet ke Sukan SEA kali ini perlu mempunyai persediaan yang rapi dari segi mental ekoran pelbagai masalah yang mungkin timbul sepanjang penganjuran Sukan SEA di Filipina.

“Persediaan perlu dilalui dari segi mental kerana pastinya pelbagai perkara seperti budaya yang berbeza, makanan, menu yang berbeza dari biasa dan kesediaan untuk travel.

“Kali ini ada tiga kluster ditambah dengan kluster kecil. Urusetia terdiri daripada ISN, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) akan berada di tiga kluster utama bersama kumpulan sokongan sains sukan dan perubatan.

“Walaupun pelbagai perkara dibangkitkan, saya yakin Filipina sangat komited untuk memastikan Sukan SEA berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faedzal berkata mesyuarat jawatankuasa pemilihan akan diadakan akhir bulan ini bagi memperincikan senarai terakhir sebelum dihantar kepada jawatankuasa penganjur. – BERNAMA


Pengarang :