NASIONAL

Tun M di Parlimen setiap Rabu jawab pertanyaan lisan

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 8 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan hadir di Dewan Rakyat bermula Rabu ini bagi menjawab soalan lisan yang bakal dikemukakan Ahli Parlimen.

Katanya, beliau tetap akan hadir di Parlimen pada setiap Rabu sepanjang persidangan Parlimen walaupun tiada soalan khusus untuk dijawab.

“Saya akan tampil di Parlimen setiap Rabu untuk menjawab soalan. Kalau tiada soalan pun saya kena ada juga di sana,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Sesi itu akan berlangsung selama setengah jam bagi memberikan peluang kepada Ahli Parlimen mendapatkan penjelasan daripadanya di mana sebelumnya wujud permintaan bagi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Difahamkan soalan pertama yang akan dikemukakan Rabu ini berkaitan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Ia susulan terdapat Ahli Parlimen yang mempersoalkan ketiadaan Perdana Menteri pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat khususnya ketika mereka mahu meminta penjelasan lanjut walaupun ia sudah dijawab menteri bertanggungjawab.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :