NASIONAL

Tun M: Empat parti Melayu sudah cukup

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 8 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan orang Melayu supaya tidak lagi menubuhkan parti politik baharu semata-mata mahu menjadi Presiden atau Timbalan Presiden.

Beliau berkata, kewujudkan empat parti Melayu iaitu BERSATU, AMANAH, PAS dan UMNO sudah cukup buat masa ini serta terpulang kepada rakyat untuk menyertainya.

“Sebenarnya saya telah terangkan orang Melayu ini tidak pandai politik, seronok nak jadi Presiden (parti) dan buka parti. Semakin lama semakin banyak parti.

“Lama-lama orang Melayu tiada kuasa, cuma parti kecil-kecil sahaja. Mereka boleh masuk parti mana-mana, empat parti cukup tidak perlu 20. Politik ini perkara serius.

“Ini bukan sentimen perkauman. Kita mahu menyelamatkan semua orang. Kalau ternampak orang Melayu tertinggal di belakang, sebabnya bukan parti atau saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pengerusi PAKATAN itu berkata, penubuhan lebih banyak parti tidak akan menyelesaikan masalah Melayu malahan pihaknya tidak boleh menerima parti komponen baharu kerana ia akan membawa masalah ketika pemilihan calon pilihan raya.

Katanya, ahli parti lain boleh menyertai parti sedia ada dalam PAKATAN yang dianggotai KEADILAN, DAP, AMANAH dan BERSATU.

“Semua orang nak jadi calon. Kita tidak banyak kawasan pilihan raya, jadi jika mereka menyertai sedia ada, okey,” katanya.

Dalam sidang media sama Dr Mahathir turut mengumumkan pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji pelaksanaan manifesto.

Beliau berkata, banyak perkara yang sudah dilakukan Kerajaan termasuk yang tidak dijanjikan dalam manifesto tetapi ia tidak dihebahkan.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :