AGENDANASIONAL

Tun M: Umno jadi parti bodoh kerana pemimpin pentingkan kuasa

SERDANG, 20 JUL: Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya mengambil pengajaran terhadap kejatuhan parti Umno.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana kejatuhan Umno disebabkan tindakan pemimpin sentiasa memastikan tiada individu lain lebih cerdik daripadanya untuk menjamin kekal berkuasa.

“Apa guna jadi pemimpin jika tiada pengikut tetapi dalam Umno, Ketua Cawangan mencari pengikut yang bodoh supaya dia kekal berkuasa.

“Namun dia manusia biasa, akhirnya meninggal dunia dan apabila dia meninggal, penggantinya adalah pengikut yang bodoh tadi pula menjadi ketua.

“Selepas pengikut yang bodoh itu menjadi ketua, dia juga mencari pengikut yang lebih bodoh lagi dan begitulah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Dewan Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Mahathir berkata, akhirnya Umno menjadi sebuah parti dipenuhi individu bodoh dengan sikap tamak dan mementingkan kedudukan sendiri.

Bagaimanapun katanya, beliau sendiri pernah menjadi Presiden Umno, sambil disambut ketawa hadirin yang memenuhi dewan persidangan.

Mahathir berkata, sedangkan pada asalnya Umno merupakan sebuah parti yang memperjuangkan kemerdekaan di samping membela agama, bangsa dan negara.


Pengarang :