PENDIDIKAN

UiTM intai peluang kolaborasi dengan institusi pendidikan Guizhou

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini mengorak langkah untuk berkolaborasi dengan sembilan institusi pendidikan di wilayah Guizhou, China.

Ini susulan Surat Hasrat yang ditandatangani UiTM bersama institusi terbabit pada Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN ke-12 (CAECW) yang berlangsung di Guiyang, ibu negeri wilayah berkenaan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Prof Dr Mohamad Kamal Harun, kepelbagaian bidang dan pengkhususan yang ditawarkan UiTM menarik minat institusi pendidikan itu untuk berkolaborasi dengannya.

“Ia juga bakal membuka peluang perkongsian ilmu lebih luas khususnya bagi UiTM di bidang tumpuan dan fokus kepakaran institusi pengajian di Guiyang sebagai hab Data Raya dan Kecerdasan Buatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Surat Hasrat itu ditandatangani UiTM bersama Guizhou University, Guizhou Minzu University, Guizhou University of Finance and Economics, Guizhou Medical University, Zunyi Medical University, Guizhou Equipment Manufacturing Vocational College, Guizhou Preschool Education College, Guizhou Polytechnic of Construction dan Guizhou Light Industry Technical College.

UiTM menyasarkan surat hasrat yang ditandatangani itu akan membawa kepada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum persetujuan (MoA) antara pihak terlibat.

UiTM merupakan antara sembilan universiti dari Malaysia yang mengambil bahagian pada CAECW. – BERNAMA


Pengarang :