NASIONAL

Ujian Tingkatan 3: NUTP gesa kementerian beri pencerahan

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan kenyataan rasmi, surat pekeliling atau siaran kepada warga pendidik berhubung peperiksaan percubaan bagi murid tingkatan tiga.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock dalam kenyataan hari ini berkata, NUTP mendapati ada antara sekolah menengah yang mengadakan peperiksaan percubaan mengejar penarafan secara tidak formal di kalangan mereka sendiri dan situasi itu akan membebankan murid dan guru terbabit.

“Kita memohon satu kenyataan rasmi atau surat pekeliling berkaitan ini dapat dikeluarkan oleh KPM supaya guru tidak keliru atau menjadi mangsa pengetua dan pentadbiran sekolah.

“Kebanyakan pengetua dan pentadbir sekolah memerlukan pemakluman secara hitam putih,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, NUTP memuat naik satu video di Facebook berhubung pemakluman Ketua Penolong Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Rohesan Mohamad, yang meminta semua pengetua dan pentadbir sekolah tidak mengadakan peperiksaan percubaan serta peperiksaan akhir tahun bagi pelajar tingkatan tiga.

Harry Tan berkata, perkara itu juga diuar-uarkan Ketua Pengarah Pendidikan selaras naratif baru amalan pendidikan yang tidak mahu pendidikan Menengah Rendah berfokus kepada ‘Exam Oriented’ kerana PT3 sebahagian komponen Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

Kenyataan video itu juga memaklumkan bahawa menjelang 2020, soalan peperiksaan akan dibuat para guru mengikut gred sekolah masing-masing.

“Jadi tidak sepatutnya dibuat perbandingan kerana pelajar dan guru yang akan tertekan dengan perbandingan ini.

“KPM hanya ingin dan mengharapkan kemenjadian murid terlaksana,” katanya merujuk kepada peperiksaan percubaan tingkatan 3 yang diadakan setengah sekolah.

-BERNAMA


Pengarang :