Selangorkini
NASIONAL

UKM raih peluang kerjasama dua universiti utama China

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapat peluang kerjasama dengan dua universiti utama China iaitu Universiti Peking dan Universiti Tsinghua.

UKM, dalam kenyataan semalam berkata, peluang kerjasama itu dipersetujui semasa pertemuan antara kedua-dua universiti tersebut dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Naib Canselor UKM, Prof Dr Mohd Hamdi Abd Shukor di China, hari ini.

Ia berkata, semasa pertemuan dengan Pengerusi Universiti Peking, Qiu Shuioing, universiti berkenaan telah menunjukkan minat menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UKM dalam bidang seperti meningkatkan pengetahuan dan pertukaran budaya serta kerjasama penyelidikan bersama.

“Qiu juga menyatakan bahawa beliau berharap untuk melawat Malaysia bagi pematerian MoU bersejarah antara kedua-dua universiti berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, tiada tarikh yang ditetapkan untuk lawatan tersebut kerana ia hanya pada peringkat awal.

Sementara itu, Universiti Tsinghua turut menunjukkan minat yang besar dalam menjalin kerjasama dengan UKM khusus dalam meneroka pilihan untuk program bersama dan mewujudkan pengaturan perkongsian modul.

“Universiti Tsinghua juga bersetuju mengenai kepentingan menjalin hubungan individu antara staf universiti dan pelajar dan menandakan komitmen mereka kepada mobiliti kakitangan dan pelajar yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.

Semalam. Maszleee mengakhiri lawatan kerja empat hari ke negara itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :