NASIONAL

UMS-Huawei kolaborasi pacu pembangunan pelajar

KOTA KINABALU, 11 JUL: Kerjasama pintar antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. kini giat dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan pelajar UMS dengan memberi latihan khusus dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamarudin D Mudin berkata, bagi tujuan itu Huawei telah mewujudkan Huawei Authorized Information Network Academy (HAINA) di UMS.

“Melalui HAINA, Huawei mengiktiraf UMS sebagai pusat latihan dan pensijilan bagi sijil profesional Huawei seperti Huawei Certified Network Academy (HCNA) dan Huawei Certified ICT Associate (HCIA).

“Huawei juga menyumbang peralatan ICT di pusat HAINA untuk aktiviti latihan, selain memberi bantuan dalam latihan pelajar UMS untuk tujuan pensijilan HCNA/HCIA serta mempersiapkan staf UMS sebagai tenaga pengajar yang bertauliah dan diiktiraf,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

D Kamarudin berkata, sehingga Jun lepas terdapat tiga kumpulan terdiri daripada 107 pelajar mendapat pensijilan sama ada dalam HCNA atau HCIA.

Beliau berkata, kos keseluruhan untuk kursus dan pensijilan dianggarkan RM15,000 bagi setiap pelajar namun, buat masa ini percuma bagi pelajar UMS.

Huawei juga akan menjadi penasihat teknikal bagi merealiasikan keperluan UMS berdasarkan industri 4.0.

– BERNAMA


Pengarang :