BERITA UTAMA

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkenaan untuk melaksanakan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, perkembangan terbaharu itu menunjukkan kematangan politik Malaysia.

“Ia menjadi satu mercu tanda politik negara dan harap berterusan pada masa hadapan. SPR selepas ini perlu mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan,” katanya di lobi Parlimen.

Beliau berkata, SPR juga akan berjumpa dengan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Pendaftaran Negara.

“Satu kempen kesedaran juga perlu diadakan agar rakyat Malaysia tampil mengemas kini alamat terbaru mereka,” katanya.

Azizan berkata, kos pilihan raya juga akan meningkat berikutan jumlah pengundi yang dijangka menjangkau lebih 22 juta orang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU14 tahun lalu.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahlinya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata, tiada ahli Parlimen yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

-BERNAMA


Pengarang :