NASIONAL

UniMAP terima geran penyelidikan industri lebih RM13 juta

ALOR SETAR, 4 JUL: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima geran penyelidikan berjumlah lebih RM13 juta membabitkan 60 projek berimpak tinggi yang terdiri daripada tiga kategori.

Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, tiga kateogri itu ialah geran terus daripada industri, ‘Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST)’ dan Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN).

“Baru-baru ini juga, UniMAP turut menerima dua geran penyelidikan berjumlah RM206,500 melalui Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) bagi Fasa 1/2019 Dana Penyelidikan Kementerian Pendidikan.

“Geran tersebut diterima melalui dua penyelidik iaitu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik, Ir Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansur dan Pensyarah Kanan PPK Mekatronik, Ir Dr Nasrul Amri Mohd Amin,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, R Badlishah berkata, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, UniMAP telah menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama dua pemain industri iaitu Budi Prosma Sdn Bhd dan GPIBS Bhd pada satu majlis yang diadakan di Kulim, semalam.

“Kedua-dua syarikat ini adalah berkaitan sivil yang memberi fokus kepada teknologi Industrial Building System (IBS) dan kerjasama ini sebagai satu daripada inisiatif universiti bagi memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di UniMAP,” katanya.

Katanya, UniMAP sentiasa membuka ruang kepada pihak industri untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan universiti tidak kira dalam platform apa sekalipun termasuk geran penyelidikan industri.

– BERNAMA


Pengarang :