AGENSISELANGOR

Unit Rondaan Bermotosikal di Sungai pantau aktiviti haram

KLANG, 28 JUL: Unit Rondaan Bermotosikal di Sungai akan ditubuhkan melalui Selangor Martime Gateway (SMG) untuk memantau dan mengesan aktiviti haram yang boleh membahayakan kualiti air di negeri ini.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, unit rondaan itu akan mula beroperasi sepenuhnya dalam tempoh enam bulan akan datang.

Katanya, sebelum itu pihaknya terlebih dahulu akan membuat penyediaan laluan yang sesuai di sepanjang tebing sungai di Selangor.

“Ia adalah komponen baharu dalam siri program pembabitan komuniti di bawah SMG dan akan menjadi pelengkap kepada usaha sedia ada bagi memantau dan mengawasi sungai dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kepada penunggang motosikal yang berminat, kami mengalu-alukan pembabitan anda, jadi sila hubungi kami.

“Sasaran meningkatkan kualiti air tidak mampu direalisasikan tanpa penyertaan orang awam. Kita harus sedar, kebersihan adalah cerminan tahap peradaban sesebuah masyarakat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gotong Royong Taman Awam Pengkalan Batu ‘River Guardian For a Better Tomorrow’ di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Pada program itu, sebanyak 1,000 kilogram sampah berjaya dikutip dalam tempoh tiga jam.

Program anjuran LLSB melalui projek SMG itu turut mendapat kerjasama MPK serta sukarelawan dari badan bukan kerajaan, universiti dan komuniti setempat.

“Saya berharap usaha kami ini akan dilihat positif kerana mahu menyemarakkan semangat bantu-membantu dalam komuniti dan sedikit sebanyak akan mewujudkan rasa kekitaan yang tulen.

“Kita harus mengambil iktibar daripada negara maju seperti Jepun di mana masyarakatnya memiliki disiplin serta mempunyai budaya cintakan kebersihan yang tinggi.

“LLSB sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkaitan dalam menjayakan program kali ini,” katanya.


Pengarang :