PBTSELANGOR

Unity Of Voices ungguli Koir Kota Seni Shah Alam Edisi Kebangsaan 2019

SHAH ALAM, 22 JUL: Pasukan Unity Of Voices menjuarai Pertandingan Koir Kota Seni Shah Alam Edisi Kebangsaaan 2019 bagi Kategori Sekolah Menengah yang berlangsung di Teater Shah Alam, Sabtu lalu.

Melantunkan lagu Untukmu Malaysia dan Jabberwocky, pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru itu berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi serta memperoleh status Gold 1.

Pasukan C Breeze Choir dari SMK Raja Jumaat, Negeri Sembilan pula di tempat kedua dengan membawa wang tunai RM3,000.00 dan status Gold 1.

Tempat Ketiga pula milik pasukan Kepong Shines dari SMK Kepong dengan membawa wang tunai RM2,000 dan status Gold 2.

Bagi Kategori Sekolah Rendah, pasukan Jiao Er Children’s Choir dari Sekolah SJK (C) Batu Sebelas, Cheras dinobatkan selaku juara dan memperolehi status Gold 1 di samping membawa pulang hadiah wang tunai RM 5,000.00, trofi dan sijil.

Dengan melantunkan lagu Selamat Pergi Pahlawanku dan Sound of Music Medley, pasukan Jiao Er Children’s Choir menewaskan SJK(C) Kung Man, Serdang di tempat kedua serta memperolehi Gold 2.

Tempat Ketiga bagi kategori sekolah rendah pula, dimenangi oleh kumpulan Piacere dari SK Bukit Damansara dengan status Gold 2.

Manakala, tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa wang tunai RM 3,000 dan RM 2,000 yang disampaikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim.

Pertandingan Koir Kota Seni Shah Alam Edisi Kebangsaan 2019 disertai 12 pasukan bagi kategori Sekolah Rendah dan tujuh pasukan kategori Sekolah Menengah.

Program koir ini berjaya memupuk semangat perpaduan melalui lagu-lagu patriotik yang menjadi salah satu lagu wajib pertandingan.

Bandaraya Shah Alam terus aktif menganjurkan program seni dan budaya selaras dengan gagasan Kerajaan Negeri menjadikan Shah Alam sebagai Kota Seni sejak 2015.


Pengarang :