SELANGOR

UPM kumpul kepakaran bantu masyarakat laksana projek komuniti

SERDANG, 21 JULAI: Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambut baik usahasama Kerajaan Negeri dalam menjadikan universiti itu sebagai rakan strategik pelaksanaan projek perintis pembangunan komuniti.

Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Faez Firdaus Jesse Abdullah berkata, menerusi projek itu, pihaknya mengumpulkan kepakaran untuk diterjemahkan kepada komuniti melalui program pertanian bandaran dan kesihatan.

“Objektif projek ini untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas dalam bidang pertanian khususnya pertanian bandaran secara mudah guna, rendah bajet, bersih dan selamat.

“Selain itu, ia juga meningkatkan kesedaran keselamatan makanan dan kesihatan melalui pembudayaan kitar semula dalam penggunaan organik.

“Selain membentuk jalinan dan kerjasama dalam kalangan komuniti dan agensi, kita juga mahu mewujudkan suasana komuniti yang cintakan alam sekitar, kebersihan dan kehijauan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Perintis Komuniti di Dewan Persatuan Penduduk pangsapuri PKNS, di sini.

Dr Faez berkata, tiga bentuk tumpuan dalam program itu akan dilaksanakan membabitkan laman rumah yang memfokuskan tanaman sayuran, herba dan ulaman.

Manakala, katanya, laman komuniti pula termasuk landskap serta keusahawanan membabitkan penjualan hasil tuaian dari laman yang diusahakan.

“Kami bersyukur Kerajaan Negeri memilih UPM sebagai rakan strategik. Melalui kerjasama ini, kami bawakan segala kepakaran yang ada untuk membantu penduduk setempat sebagai tanggungjawab sosial korporat.

“UPM bersedia membantu jika ia dilebarkan ke kawasan lain. Cuma lebih baik jika komuniti itu mengajar komuniti lain segala yang diajar kepada mereka nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, projek berkenaan bakal membabitkan kepakaran daripada enam fakulti antaranya Fakulti Pertanian, Rekabentuk dan Senibina, Perubatan dan Sains Kesihatan serta Taman Pertanian Universiti.

Terdahulu, projek berkenaan akan dilaksanakan di dua kawasan iaitu pangsapuri PKNS Seri Kembangan dan Sri Indah yang memfokuskan pembangunan pertanian bandaran dan pendidikan melalui kesihatan.


Pengarang :