NASIONAL

UPM tolak amalan plagiat hasil kerja pelajar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL: Universiti Putra Malaysia (UPM) memandang serius amalan eksploitasi, plagiat atau mencuri hasil kerja pelajar oleh golongan akademik di universiti.

Naib Canselornya, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, amalan tidak beretika itu sememangnya ditolak UPM kerana akan mencemarkan integriti dan reputasi universiti serta institusi pendidikan negara.

Katanya, justeru pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib terhadap staf mahupun pelajar yang didapati terbabit dalam kes berkenaan.

“UPM ingin menegaskan bahawa kami mempunyai saluran aduan yang boleh dicapai oleh semua staf, pelajar dan juga orang awam.

“Antara saluran yang disediakan ialah melalui Sistem U-Respon yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan kebebasan bersuara dalam kalangan pelajar, staf mahupun orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz berkaitan isu integriti akademik dilaporkan sebuah media pada 29 Jun lalu.

Aini berkata, UPM melalui Unit Integriti Sekolah Pengajian Siswazah Bahagian Kemasukan dan Pusat Pembangunan Akademik telah bekerjasama untuk mengambil langkah pencegahan dan inisiatif bagi memupuk kesedaran.

Katanya, langkah sebegini membuktikan komitmen UPM dalam mengukuh dan memartabat universiti sebagai institusi pendidikan berintegriti.

“Justeru UPM sekali lagi ingin menzahirkan komitmen bahawa akan sentiasa memelihara integriti akademik dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku integriti akademik,” katanya.


Pengarang :