NASIONAL

Usaha Malaysia ke arah pengeluaran minyak sawit mampan dipuji

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Malaysia berada di landasan tepat untuk membolehkan pengeluaran minyak dan industri kelapa sawit mendapat pengiktirafan sebagai komoditi mampan, kata duta Itali ke Malaysia Cristiano Maggipinto.

“Kami mengalu-alukan komitmen Malaysia dan kami gembira Malaysia melaksanakan peranannya berhubung pandangan terhadap pengeluaran mampan, bagi membolehkan lebih banyak minyak kelapa sawitnya mendapat pengiktirafan.

“Kami fikir Malaysia di landasan tepat kerana lebih banyak minyak sawit Malaysia kini diperakui oleh Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO). Ini sangat penting…bahawa (kemampanan) adalah masa depan semua,” katanya dalam temu bual dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini, baru-baru ini.

Kerajaan Malaysia mewajibkan semua penanam dan pekebun kecil sawit di negara ini mendapatkan pensijilan MSPO menjelang akhir 2019.

Diperkenalkan pada 2015, pensijilan itu mengesahkan produk sawit yang dihasilkan adalah melalui kaedah mampan iaitu tidak mencemarkan alam sekitar, menggunakan cara selamat dan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (GAP).

Kerajaan Malaysia juga telah mengehadkan kawasan ladang kelapa sawit kepada kira-kira 6.5 juta hektar, menumpukan kepada penggunaan bahan penanaman yang lebih bermutu dan meningkatkan produktiviti tanpa perlu berkembang ke kawasan hutan baharu.

Malaysia juga komited dalam usahanya untuk mengekalkan kawasan hutannya sekurang-kurangnya 50 peratus, walaupun pihak Barat mendakwa ladang kelapa sawit telah menyebabkan penebangan hutan dan mengancam pemuliharaan.

Maggipinto juga berpendapat dengan pelbagai langkah yang telah diambil, agensi Malaysia berkaitan dan pemain industri utama perlu meningkatkan penglibatannya dengan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) untuk meredakan situasi tegang yang menyelubungi industri berkenaan.

“Kami akan terus membeli minyak sawit Malaysia. Itali adalah antara pengimport minyak sawit Malaysia yang terpenting kerana kami menggunakan produk itu dalam industri makanan.

“Arahan EU tidak mengatakan EU tidak akan membeli minyak sawit, tetapi ia berkaitan pengeluaran biobahan api di EU. Kita perlu menghentikan beberapa komponen tertentu dalam biobahan api bagi memastikan pengeluarannya lebih mampan untuk alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata import minyak sawit Itali dari Malaysia pada tahun lepas ialah € 250 juta atau 372,000 tan metrik.

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan Malaysia mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke EU pada 2018, turun empat peratus berbanding 2017.

EU adalah pengimport minyak sawit Malaysia kedua terbesar selepas India, membeli 12 peratus daripada jumlah pengeluaran yang dihasilkan pada 2018.

Industri minyak kelapa sawit di negara seperti Malaysia dan Indonesia mengalami tekanan, lantaran syor EU untuk mengehadkan pengeluaran biobahan api berasaskan minyak sawit bermula 2021 dan larangan sepenuhnya menjelang 2030.

Langkah itu akan menjejaskan 650,000 pekebun kecil kelapa sawit di Malaysia. – BERNAMA


Pengarang :