Selangorkini
NASIONAL

Veteran tentera minta tempat dalam kuota haji tambahan

PADANG BESAR, 9 JUL : Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) meminta kerajaan memperuntukan 400 tempat kepada ahlinya jika kerajaan Arab Saudi meluluskan tambahan 10,000 kuota jemaah haji yang dipohon tahun ini.

Presidennya Ismail Abidin berkata, mereka cuma memohon diberikan tempat untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu menggunakan wang sendiri sebagai mengenang jasa bekas anggota tentera kepada negara.

“Kami tidak memohon bantuan kewangan kerana kebanyakan ahli yang berhasrat menunaikan fardhu haji mempunyai simpanan yang mencukupi selain berumur lebih 60 tahun,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Ismail berkata jumlah yang dipohon itu masih sama seperti 400 tempat yang diperuntukkan oleh kerajaan terdahulu kepada veteran tentera namun tawaran itu dihapuskan sejak tahun lepas.

Beliau mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof baru-baru ini mengenai usaha kerajaan merayu kepada kerajaan Arab Saudi untuk diberikan kuota haji tambahan sebanyak 10,000 kepada jemaah Malaysia tahun ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi mengenai tambahan kouta haji itu baru-baru ini. Pada masa ini Malaysia diperuntukkan sebanyak 30,200 tempat.

-BERNAMA


Pengarang :