SELANGOR

Veterinar Selangor kenal pasti 27 ekor kambing positif Brucellosis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 JULAI: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (DVS Selangor) mengenal pasti sebanyak 27 ekor kambing ternakan positif penyakit Brucellosis dan dilupuskan.

Pengarah Perkhidmatannya, Dr Hassuzana Khalil berkata, hasil siasatan mendapati ladang kambing yang disyaki menjual susu tercemar bakteria Brucella melitensis terletak di daerah Klang dan belum berdaftar di bawah Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) Klang.

Katanya, sebanyak 213 sampel darah membabitkan 140 ekor kambing dan 73 ekor bebiri diambil untuk pengesahan penyakit itu di Makmal Kesihatan Awam Veterinar Salak Tinggi.

“Sehingga kini, ladang berkaitan masih di bawah pemantauan berterusan DVS Selangor sehingga ia disahkan mencapai status bebas penyakit Brucellosis.

“DVS Selangor dengan segera meluluskan bantuan 45 buah Pasturia (sejenis peralatan mempasteur susu) untuk diagihkan kepada penternak lembu tenusu dan kambing tenusu di seluruh Selangor bagi memudahkan mereka mempasteur susu sebelum dipasarkan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Dr Hassuzana berkata, pihaknya melaksanakan pemusnahan ternakan berpenyakit di bawah program pencegahan, pengawalan dan pembasmian penyakit haiwan dan zoonotik.

“DVS Selangor menjalankan kempen kepada penternak bagi meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan menghasilkan produk yang dijamin selamat untuk kegunaan manusia seperti ditetapkan dalam GL 003 : 2014 Garis panduan Kebersihan dan Keselamatan Susu Bagi Pengusaha Tenusu.

“Pendekatan yang digunakan di bawah program ini adalah ‘uji dan hapus’ yang juga kaedah terbaik bagi memastikan bakteria brucella tidak menjangkiti ternakan yang sihat.

“Pemindahan ternakan di antara daerah dan negeri juga dipantau DVS Selangor bagi memastikan penyakit ini tidak merebak,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, penternak dan pedagang ternakan (trader) diwajibkan untuk memohon Sijil Kesihatan Veterinar dan Permit Pemindahan Ternakan bagi sebarang urusan pemindahan ternakan.

Beliau berkata, penternak dan orang ramai juga dinasihatkan untuk membeli ternakan yang mempunyai Sijil Kesihatan Veterinar daripada ladang berdaftar dengan DVS Selangor.

Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.dvssel.gov.my atau facebook – www.facebook.com/dvssel.


Pengarang :