NASIONAL

Wan Ji dihukum penjara setahun kes hasutan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 JULAI: Penceramah agama Wan Ji Wan Hussin dijatuhkan hukuman penjara setahun berhubung kenyataan menghasut terhadap Sultan Selangor pada 2012.

Aktivis berusia 37 tahun itu dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu tetapi di peringkat rayuan, Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman terbabit.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman berkata penerbitan kata-kata ustaz itu adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, lapor Sinar Harian.

“Ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja-raja.

“Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan,” katanya dalam penghakiman.

Peguam tertuduh Mohd Radzlan Jalaludin memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan tetapi permohonan lisannya ditolak.

Ketika dituduh pada 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina terhadap baginda dalam akaun Facebooknya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pada pagi 5 November 2012.

Pada 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen di sini Mohd Sabri Ismail menghukum sembilan bulan penjara mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.


Pengarang :