Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Wang GST tidak hilang jika berjaya ditemui – Tun M

PUTRAJAYA, 15 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, wang RM19.4 bilion hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya disahkan tidak hilang, jika ia berjaya ditemui semula.

Ditanya pemberita mengenai rumusan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Dr Noraini Ahmad hari ini bahawa wang kutipan GST itu tidak hilang, Dr Mahathir berkata: “Kalau dia kata tidak hilang kita hendak tengoklah duit itu ada di mana.

“Kalau kita dapat jumpa balik, duit itu tidak hilanglah. Kalau kita tidak jumpa balik dia (duit itu) hilanglah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Noraini dilaporkan berkata, dana itu tidak hilang tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Laporan juga menyebut PAC mengesan berlaku perlanggaran prosedur pemindahan wang berjumlah RM19.4 bilion itu apabila ia tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti ditetapkan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata, tiada keperluan untuk menambah aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat bagi mengekang pencerobohan nelayan asing.

Buat masa ini, katanya operasi bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Jabatan Perikanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilihat berkesan bagi membanteras kegiatan nelayan asing dalam perairan negara.

“Keperluan menambah aset, bot, kapal besar memang ada, (cuma) saya tak fikir dalam masa terdekat. Sebab itu kita mobilise aset daripada lain-lain agensi dan kementerian supaya operasi ini berkesan,” katanya yang juga Presiden Bersatu.

Muhyiddin baru-baru ini dilaporkan berkata, menerusi Ops Naga yang dilancarkan awal bulan lepas bagi membanteras kegiatan nelayan asing, pihak berkuasa telah menahan sebanyak 52 buah vesel daripada pemeriksaan ke atas 983 buah vesel.

Operasi itu dilaksanakan bersama oleh APMM, TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perikanan.

– BERNAMA


Pengarang :