Selangorkini
SELANGOR

Warga asing monopoli perniagaan di Serdang Jaya, MPSJ arah premis ditutup

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 2 JULAI : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini mengeluarkan notis tutup serta-merta kepada beberapa peniaga tempatan di Serdang Jaya kerana dikesan menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan aktiviti perniagaan yang dimonopoli warga asing di kawasan tersebut tidak berleluasa pada masa akan datang.

“Operasi hari ini dilakukan selepas kami menerima aduan daripada orang awam mengenai kebanjiran warga asing seperti Acheh dan Bangladesh yang dilaporkan memonopoli aktiviti perniagaan di situ.

“Kami akan mengambil tindakan lebih tegas kepada pemilik premis yang masih berdegil menyewakan kedai untuk perniagaan oleh warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas operasi bersepadu menangani aktiviti perniagaan oleh warga asing dan tambahan struktur haram di kawasan Serdang Jaya 5 dan 6.

Dalam operasi sama, sebanyak 14 pemilik premis diberi notis termasuk pemilik yang membina struktur tambahan tanpa kebenaran.

Mengulas lanjut, Mohd Zulkurnain berkata, MPSJ memberi tempoh 30 hari kepada pemilik premis untuk mengosong dan merobohkan struktur haram berkenaan.

Katanya, sekiranya gagal, MPSJ akan merobohkan sendiri struktur terbabit.

“MPSJ sebelum ini dah banyak kali beri amaran tapi masih ingkar, pada hari ini MPSJ turun sekali lagi dan harap masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.

 


Pengarang :