PBT SELANGOR

Warga Kuala Selangor dijemput meriahkan Karnival 3W

SHAH ALAM, 23 JUL: Masyarakat setempat khususnya warga Kuala Selangor dipelawa memeriahkan Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, Sabtu ini.

Karnival anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dijadual berlangsung seawal 6.30 pagi hingga 11 malam dengan mengangkat tema Hari Sukarelawan Selangor.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, karnival itu diadakan untuk memberi kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kebajikan serta pemberdayaan wanita selain mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bagi mewujudkan komuniti sihat juga ceria.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung seperti larian 10,000 langkah, pertandingan gasing moden ‘Beyblade Burst’ dan PS4 FIFA 2019.

“Kita turut mengadakan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan Hari Bertemu Pelanggan MDKS untuk memberi ruang kepada pelanggan menyalurkan aduan serta cadangan secara dua mata.

“Kemuncak program di sebelah malam pula menampilkan bual bicara bersama selebriti terkenal dan hadiah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama set televisyen serta telefon bimbit,” katanya kepada SelangorKini.

Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie serta Naib Juara program Gema Gegar Vaganza 2018, Adeep Nahar akan tampil selaku panelis dalam segmen bual bicara, Papaku Adiwira Mamaku Kejora untuk mengupas topik ‘Aku Sukarelawan’, manakala Amin Idris bertindak sebagai moderator.

Karnival berkenaan akan disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Terdahulu, Karnival 3W julung kali diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, pada 10 Februari lalu sebagai penambahbaikan daripada Karnival Sihat Selangor yang pernah diwujudkan sebelum ini.

Objektif pelaksanaan adalah untuk mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Karnival itu juga akan menjelajah ke seluruh PBT pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan berkenaan.


Pengarang :