AGENDAGLOBAL

WHO isytihar penularan Ebola di Congo sebagai ‘Kecemasan Antarabangsa’

GENEVA, 18 JUL : Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu mengisytiharkan penularan virus Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) sebagai satu Kecemasan Kesihatan Awam yang menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC), lapor agensi berita China Xinhua.

Pengisytiharan itu menyusuli satu mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa bagi penularan virus Ebola di DRC, yang keempat seumpamanya selepas penularan wabak itu diisytihar pada 1 Ogos 2018.

Jawatankuasa itu membuat syor tersebut berdasarkan perkembangan baru-baru ini, termasuk kes pertama yang disahkan di Goma, sebuah bandar dengan hampir dua juta penduduk di sepanjang sempadan dengan Rwanda.

Angka terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa sejumlah 650 orang maut dalam penularan semasa manakala kira-kira 12 kes baharu dilaporkan setiap hari.

“Sudah tiba masanya dunia memberi perhatian dan menggandakan usaha kita. Kita perlu bekerjasama dalam solidariti dengan DRC bagi menghentikan penularan ini dan membangunkan satu sistem kesihatan yang lebih baik,” kata Ghebreyesus.

“Usaha luar biasa telah dilakukan selama hampir setahun di bawah keadaan paling sukar. Kita semua terhutang budi kepada semua responder – yang bukan hanya dari WHO malah kerajaan, rakan kongsi dan komuniti – untuk memikul lebih banyak beban,” katanya.

Sejak ia diisytiharkan hampir setahun lepas, penularan wabak itu diklasifikasi sebagai kecemasan tahap 3 – yang paling serius – oleh WHO, mencetuskan mobilisasi di tahap tertinggi.

PBB turut mengiktiraf keseriusan kecemasan itu dengan mengatifkan Sistem Kemanusiaan secara besar-besaran untuk menyokong respons Ebola.

Bagaimanapun, selain mengesyorkan satu PHEIC dan membuat cadangan khusus berkaitan penularan wabak ini, Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa bagi penularan virus Ebola di DRC pada Rabu turut melahirkan kekecewaaan berhubung kelewatan dalam pembiayaan yang menghalang respons.

Pada masa yang sama, jawatankuasa itu mempergiat keperluan melindungi mata pencarian rakyat yang terjejas akibat penularan itu dengan memastikan laluan pengangkutan dan sempadan dibuka, dan berkata ia adalah penting untuk mengelak kesan punitif ekonomi dari segi sekatan perjalanan serta perdagangan ke atas komuniti yang terjejas.

“Adalah penting untuk dunia mengikuti kesemua syor ini. Ia juga amat penting untuk menyatakan bahawa jangan sesekali menggunakan PHEIC sebagai alasan bagi mengenakan sekatan perdagangan atau perjalanana, yang hanya akan memberikan impak negatif terhadap respons dan kehidupan serta mata pencarian penduduk di rantau ini,” kata Profesor Robert Steffen, Pengerusi Jawatankuasa Kecemasan itu.

-BERNAMA


Pengarang :