AGENSISELANGOR

YAWAS bentang laporan audit dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah

SHAH ALAM, 18 JUL: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) telah membentangkan Laporan Ketua Audit Negara 2018  dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah untuk kelulusan dan tindakan selanjutnya.

Pengurus Besarnya, Gan Pei Nei berkata, kesemua penemuan, cadangan daripada laporan serta pelan penambahbaikan juga telah dimaklumkan dalam mesyuarat tersebut.

Katanya, YAWAS mengambil maklum akan kelemahan yang dinyatakan dalam laporan audit terbabit dan sedang mengambil langkah yang bersesuaian.

“Ia termasuk menambah baik prosedur operasi standard serta mekanisme kawalan dalaman bagi meningkatkan prestasi YAWAS.

“Kami sentiasa komited menambahbaik amalan tadbir urus korporat yang telus dan efektif seiring dengan visi syarikat untuk menjadi sebuah yayasan yang tersohor dalam pengurusan kebajikan anak-anak dan warga Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendapati pengauditan terhadap aspek tadbir urus korporat YAWAS adalah kurang memuaskan dan beberapa penambahbaikan diperlukan selaras dengan amalan terbaik korporat.

Selain itu, bagi program Insentif Perkahwinan Belia terdapat kelemahan dalam pengurusan melibatkan tempoh bayaran insentif kepada pemohon yang berjaya.


Pengarang :