AGENSISELANGOR

Zaiton Sameon menangis terharu akhiri persembahan

SHAH ALAM, 28 JUL: Penyanyi popular era 80an, Zaiton Sameon mengalirkan air mata terharu apabila menyanyikan lagu terakhir ketika membuat persembahan solonya, malam tadi.

Sudah lama tidak beraksi dalam pertunjukan, pelantun lagu Menaruh Harapan itu meluahkan rasa puas hati selepas menghiburkan tetamu pada acara Diva Night bersama Zaiton Sameon.

Beliau juga mengalirkan air mata, sempat menyatakan rasa gembira apabila berpeluang menyanyikan lagu buat peminat walaupun sudah berusia lebih 60 tahun.

“Saya gembira apabila hajat untuk mengadakan persembahan solo ini akhirnya tercapai, pada saya, tidak pernah ada sesiapa yang akan dapat menghentikan minat saya pada dunia nyanyian.

“Nyanyian memberi saya semangat dan sentiasa untuk kuat melalui hari-hari mendatang,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Zaiton berkata demikian selepas Diva Night bersama Zaiton Sameon di KACH’e Wedding, di sini.

Hadir memeriahkan program, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad yang juga isteri kepada Dato’ Menteri Besar.

Turut sama, Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi serta hampir 200 tetamu.

Artis lain yang terbabit antaranya Zur Eda, Ayu Damit, Reyhana dan Salma.

Zaiton berkata, beliau tidak akan menolak sekiranya ada pihak yang ingin memanggilnya untuk membuat persembahan mahupun bekerjasama.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :