Pasukan yang terlibat dalam Ops Kim Kim melakukan kerja-kerja memindahkan tanah yang dicemari sisa kimia dari lokasi kejadian sebelum dipindahkan ke pusat pelupusan di kawasan insiden pencemaran di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang pada 30 Mac 2019. Sebanyak 350 beg jumbo tanah dan 350 metrik tan air tercemar dikeluarkan di Sungai Kim Kim sehingga semalam. – Foto BERNAMA
RENCANA

Zon penampan mungkin tidak menyenangkan setengah pihak

JOHOR BAHRU, 2 Julai : Di sebalik hasrat kerajaan untuk mengkaji penstrukturan semula zon penampan di Pasir Gudang susulan kejadian terbaharu melibatkan gangguan kesihatan di sekolah-sekolah di kawasan terbabit Khamis lepas, timbul pula kekhuatiran bahawa kaedah itu mungkin tidak akan berkesan dalam menangani isu terbabit.

Kewujudan zon penampan juga mungkin mendatangkan rasa ‘tidak senang hati’ bagi segelintir pihak industri kerana merasakan kewujudan zon itu akan memberi implikasi kewangan seperti kerugian dan sebagainya.

Bagi Prof Madya Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, kewujudan zon penampan bukanlah jawapan sepenuhnya kepada isu berkenaan dan berpendapat zon itu hanya berkesan untuk menghalang pencemaran tertentu seperti pencemaran bunyi dan air.

“Ia mungkin tidak berkesan terhadap pencemaran udara yang dilepaskan oleh kilang atau industri kerana pencemaran udara melibatkan arah pergerakan angin serta merangkumi kawasan yang lebih luas dan kadang-kadang boleh melangkaui sempadan negara, sebagai contoh dalam kes jerebu akibat pembakaran.

“…dan tidak semua kilang di kawasan itu juga melakukan pencemaran yang serupa. Oleh itu, untuk kilang yang tidak melakukan pencemaran, zon penampan ini dilihat tiada berkaitan dengan mereka namun apabila dilaksana dan membabitkan semua kilang, maka sudah pastinya ia menjadi satu beban dan kekangan kepada operasi mereka (kilang tidak terlibat pencemaran),” katanya kepada Bernama di sini.

Justeru, sebagai langkah penyelesaian, Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu menyarankan agar satu proses rundingan diadakan bersama pihak kilang atau industri bagi mengurangkan kesan ini terhadap operasi kilang.

Pihak kilang juga, katanya, boleh memohon agar mereka tidak terlibat dalam penyediaan kos dan kewangan untuk menyediakan zon penampan itu.

“Dalam masa sama, penguatkuasaan kawalan terhadap pencemaran ini perlu dilakukan dengan lebih ketat dan telus. Alternatif (tindakan) paling maksimum ialah mengarahkan penutupan kilang dengan menarik balik lesen atau kebenaran operasi jika ada syarat-syarat tidak dipenuhi atau dipatuhi.

“Bagaimanapun, undang-undang sedia ada juga perlu dikaji secara terperinci dahulu sebelum sebarang tindakan diambil bagi mengelakkan proses perundangan,” katanya.

Muhammad Zaly Shah berkata demikian sebagai mengulas kesediaan kerajaan untuk mengkaji penstrukturan baharu zon penampan di Pasir Gudang sebagai mengurangkan risiko bencana bahan kimia, seperti yang berlaku Mac lepas dan terbaharu, gangguan kesihatan di Pasir Gudang, yang puncanya masih dalam siasatan.

Sementara itu, pensyarah kanan di UTM, Dr Shazmin Shareena Ab Azis berkata syarat perancangan untuk mewujudkan zon penampan untuk industri jenis berat seperti kawasan industri di Pasir Gudang dari kawasan perumahan yang ideal adalah sejauh 500 meter.

“Zon penampan adalah satu garis panduan perancangan yang dilaksanakan bagi mewujudkan jarak untuk memisahkan antara kawasan industri dari kawasan kediaman.

“Matlamat utama zon penampan adalah untuk memelihara kualiti hidup dengan mengguna pakai konsep kelestarian pembangunan di samping untuk mewujudkan pembangunan yang baik atau decent development.

“Akan tetapi, sejajar dengan evolusi sektor perindustrian berat di Malaysia, penggunaan syarat zon penampan yang sedang diguna pakai ini perlu dilihat lagi, sama ada masih relevan ataupun harus dikaji semula,” katanya.

Shazmin Shareena berkata Malaysia boleh merujuk kepada konsep zon penampan kawasan industri yang diguna pakai oleh Wollongong City Council di Australia, yang mana operasi sektor perindustrian berat tidak sedikit pun memberi kesan buruk kepada kawasan perumahan berhampiran, kawasan rekreasi awam dan alam sekitar.

Selain itu, kerajaan juga katanya boleh mengadaptasi kaedah ‘Urban regeneration’ yang dilihat dapat memperbaharui kawasan industri sedia ada bagi tujuan pemuliharaan.

“Kaedah ini tidak melibatkan pemindahan kawasan industri sedia ada, sebaliknya hanya melibatkan penyusunan semula perancangan kawasan sedia ada bagi menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

“Ia menyelesaikan masalah dengan membawa pembaharuan yang lestari dari sudut ekonomi, fizikal, sosial dan persekitaran kawasan tersebut,” katanya.

Shazmin Shareena yang mengajar subjek Pengajaran Alam Sekitar di Fakulti Alam Bina dan Ukur di universiti terbabit berkata setakat ini, contoh kawasan yang berjaya mengaplikasikan Urban regeneration ialah Petaling Jaya, Selangor yang telah menggunakannya untuk membaik pulih kawasan industri di Seksyen 13 melalui Rancangan Kawasan Khas (RKK).

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga mungkin boleh dicadangkan agar mewajibkan setiap industri berat mempraktikkan garis panduan International Organization for Standardization (ISO) 14000 yang bertujuan memastikan kelestarian alam sekitar serta menjamin kualiti hidup masyarakat bagi tempoh masa yang panjang.

“ISO mengeluarkan garis panduan ISO 14000 iaitu standard pengurusan persekitaran untuk diguna pakai oleh pihak industri dalam menjalankan operasi. Buat masa kini, ISO 14000 merupakan garis panduan bukan mandatori kepada semua pengusaha industri,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :