Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melepaskan peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan malam tadi. Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta Ketua Menteri Melaka Adly Zahari. – fotoBERNAMA
BERITA UTAMA

10,000 hadir pelancaran Bulan Kebangsaan

MELAKA, 3 OGOS : Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 peringkat kebangsaan berlangsung dengan penuh patriotik, meriah dan berwarna warni disaksikan kira-kira 10,000 pengunjung yang memenuhi Dataran Pahlawan, Bandar Hilir malam tadi.

Detik bersejarah yang dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku, diikuti upacara menaikan Jalur Gemilang bersaiz 2.43 meter x 4.87 meter yang dibawa 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Turut hadir pada majlis yang bermula kira-kira pukul 8.45 malam itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan menteri-menteri kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

Program itu diteruskan dengan nyayian lagu ‘Malaysia Bersih’ hasil ciptaan Muhammad Yuri Mohamed Idris dan lirik oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Anis Yusal Yusoff serta persembahan ‘Selamat Datang’ dan bacaan doa oleh Pegawai Agama Daerah Melaka Tengah Ustaz Mohd Nazri Abdul Majid.

Gimik pelancaran berkonsepkan hologram yang mengimbas sejarah kemerdekaan itu disempurnakan Dr Mahathir dan menjadi acara kemuncak sebelum persembahan montaj kemerdekaan yang diakhiri dengan gambar barisan Menteri Kabinet di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Seterusnya pengunjung turut disajikan dengan pertunjukan bunga api sebelum nyanyian Jalur Gemilang bersama tetamu kehormat dan pengunjung yang mambanjiri Dataran Pahlawan sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

Dr Mahathir turut melancarkan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 di Hadapan Memorial Kemerdekaan, yang melibatkan 62 kenderaan terdiri daripada 17 kenderaan pelbagai agensi kerajaan termasuk 30 motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Permotoran J17 bersama 15 motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan penglibatan seramai 133 peserta.

Konvoi itu akan melalui perjalanan sejauh 6,200 kilometer di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 tahun ini yang merangkumi 62 perhentian di peringkat negeri, daerah dan komuniti.

Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 turut dimeriahkan dengan konsert Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih kelolaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan artis popular tanah air seperti Ziana Zain, Francesca Peter, Datuk Nash, Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Hafiz Suip, Sissy Iman, Kenny Lee, Crystal Ong, Viveck Ji, artis Dondang Sayang, Kiki Bintang Kecil dan Hariz (Bintang RTM).

Sementara itu, pelajar Politeknik Melaka, T. Naveena,18, berkata beliau teruja untuk hadir ke majlis pelancaran itu bagi melihat Dr Mahathir secara dekat kerana perdana menteri itu merupakan idola dan pemimpin yang disanjungi beliau dan juga bapanya, S.Thandayuthapani, 50.

“Selalunya saya hanya dapat melihat Tun Dr Mahathir berucap di televisyen sahaja tetapi malam ini saya dapat tahu beliau akan hadir di majlis ini, jadi saya dan dua lagi rakan tidak melepaskan peluang datang ke sini,” katanya yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang.

Turut berkongsi pendapat sama, Sandra Tai Seow Joh, 40, dari Melaka Baru yang berkata beliau dan suami, Yeoh Joo Heng, 40, teruja hadir ke majlis itu untuk melihat pemimpin nombor satu negara itu berucap secara dekat.

“Beliau seorang yang sangat kuat bekerja untuk negara sehingga sekarang dan kami teruja untuk melihat beliau secara dekat,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :