AGENDAJENAYAH

14 tahun jadi hamba seks bapa angkat

LAHAD DATU, 4 OGOS: Perbuatan kutuk seorang bapa yang menjadikan anak angkatnya sebagai hamba seks selama 14 tahun akhirnya terbongkar apabila mangsa nekad membuat laporan polis di sini minggu lalu.

Wanita berusia 27 tahun itu mendakwa menjadi mangsa rogol bapa angkatnya selepas tinggal bersama dua adiknya dengan lelaki itu sejak 2004 di tiga kawasan setinggan berasingan di sekitar daerah ​​​​​​​ini selepas kedua ibu bapanya bercerai.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, mangsa mendakwa dirogol oleh suspek berusia 50-an itu ketika mangsa berumur 12 tahun dengan kejadian terakhir pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata mangsa tidak melaporkan kejadian lebih awal kerana takut selepas suspek mengugut akan membunuhnya sekeluarga.

“Namun kerana tidak tahan dengan sikap suspek, mangsa membuat laporan polis pada 28 Julai lalu dan terus dirujuk ke Hospital Lahad Datu dan doktor mengesahkan terhadap kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis kini sedang giat menjalankan operasi memburu suspek.

Katanya, kes tersebut ​​​​​​​disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya membantu polis sehingga suspek dapat ditangkap.

– BERNAMA


Pengarang :