Para tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada 12 Ogos 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,500 meriahkan Rumah Terbuka Aidiladha MB

SHAH ALAM, 12 OGOS: Seramai 1,500 orang memeriahkan Rumah Terbuka Aidiladha di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, majlis itu julung kali diadakan membabitkan Ketua Kampung, Ahli Majlis dan beberapa agensi terlibat.

“Jamuan ini kali pertama dianjurkan kerana pada Aidilfitri lalu kita tidak buat secara peribadi seperti ini.

“Dan semalam juga kita turut mengadakan majlis korban di sini membabitkan agensi kerajaan yang terdiri daripada kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Semalam, sebanyak lima ekor lembu dan lima ekor kambing dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha di kediaman rasminya.

Daging korban itu akan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin di Projek Perumahan Rakyat sekitar Shah Alam dan Kelana Jaya yang sudah disenaraikan.

Difahamkan, sebanyak lima ekor kambing adalah sumbangan peribadi Amirudin, manakala lima ekor lembu pula daripada MBI.


Pengarang :