Lembu-lembu seludup yang dirampas di Pasir Mas, Kelantan pada 29 Mei lalu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

16 ekor lembu seludup dirampas

TUMPAT, 7 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 16 ekor lembu bernilai RM44,800 yang diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand, minggu lepas.

Pengarahnya, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan itu dilakukan hasil operasi bersama pihaknya dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

Beliau berkata, operasi dijalankan berikutan pihaknya percaya menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi, lebih banyak haiwan itu akan diseludup ke sini.

“Selain polis kita juga mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa lain bagi mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan.

“Bagi kesalahan ini tindakan undang-undang di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) boleh dikenakan kepada pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, lembu yang dirampas selepas diperiksa didapati tidak mempunyai dokumen yang sah seperti permit import (IP) daripada MAQIS.

Katanya, perbuatan mengimport lembu tanpa mempunyai permit import yang sah daripada MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS juga sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang masuk ke Malaysia adalah bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara,” katanya.

Di samping itu, katanya, pihak terlibat perlu mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan.

– BERNAMA


Pengarang :