Ribut di Kedah merosakkan 171 buah sekolah di Kedah. Foto/BERNAMA
AGENDANASIONAL

171 sekolah di Kedah alami kerosakan akibat ribut 

ALOR SETAR, 12  OGOS: Sebanyak 171 sekolah di beberapa daerah di Kedah direkodkan mengalami kerosakan, antaranya pada bahagian bumbung dan siling bangunan sekolah itu, akibat kejadian ribut Jumaat malam lepas, setakat 10 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Dr Salmee Said berkata, daerah yang terlibat adalah Langkawi, Pendang, Sik, Baling, Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda, Yan, Padang Terap dan Kulim-Bandar Baharu.

“Kerosakan di semua sekolah itu akan dibaiki segera, tetapi mengambil masa sebulan juga (untuk kesemua sekolah itu siap dibaik pulih),” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada Bernama malam ini.

Dr Salmee berkata, bagaimanapun masa terdekat ini sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar tidak terjejas, memandangkan mereka sedang bercuti Raya Aidiladha sehingga 17 Ogos depan.

-BERNAMA


Pengarang :