DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah diiringi Amirudin Shari ke Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Negeri Selangor Darul Ehsan di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

185 dianugerah pingat kebesaran Sultan Selangor

SHAH ALAM, 29 OGOS: Seramai 185 individu dianugerah pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-73 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan tersebut disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Terdahulu, keberangkatan tiba Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pada istiadat berkenaan, seramai 28 penerima dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (PPT), manakala 36 penerima dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (PPC).

Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dikurniakan kepada 91 penerima, sementara itu 30 lagi penerima Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).

Pengurniaan pingat kebesaran itu bertujuan menghargai jasa dan sumbangan bakti yang dicurahkan kepada masyarakat dan negeri ini.

Penerima-penerima pingat tersebut melibatkan mereka dari daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

Sultan Sharafuddin akan menyambut ulang tahun ke-73 pada 11 Disember ini.


Pengarang :