AGENDANASIONAL

1MDB: Jabatan Peguam Negara fail pertuduhan tambahan terhadap 17 individu

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Jabatan Peguam Negara hari ini memfailkan pertuduhan tambahan terhadap 17 bekas pengarah dan pengarah bagi tiga anak syarikat bank pelaburan Goldman Sachs berhubung penjualan Nota-nota Terjamin anak syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berjumlah US$6.5 bilion.

Pertuduhan berkenaan membabitkan tindakan mereka meninggalkan fakta-fakta material dan membuat penyataan tidak benar.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kenyataan media berkata, tiga anak syarikat itu melibatkan Goldman Sachs International, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs.

Bagi Goldman Sachs International, individu yang terlibat ialah Richard John Gnodde; Brian Griffiths; Michael Sydney Sherwood; Robin Antony Vince dan Claes Ake Gustaf Dahlback, bagi Goldman Sachs (Asia) LLC iaitu Oliver Robert Morgan Bolitho; Matthew Thayer Freemont-Smith; Frederick Towfigh; Archie William Parnell; Ronald Suk Bae Lee; Richard Mark Campbell-Breeden; Keith Leslie Hayes; Amol Sagun Naik; John Michael Evans dan Dimitrios Kavvathas.

Sementara itu, bagi Goldman Sachs (Singapore) Pte, individu yang terlibat ialah Goh Boon Leng dan Liow Chang Lee.

Mengikut kenyataan itu, bagi pertuduhan pertama Gnodde, Griffiths, Sherwood, Vince, Bolitho, Freemont-Smith; Towfigh; Parnell; Suk Bae Lee; Campbell-Breeden; Hayes; Naik; Evans, Kavvathas dan Goh didakwa telah meninggalkan beberapa fakta bagi penjualan Nota-Nota Terjamin Matang 2022 bernilai US$1.75 bilion dengan kadar faedah 5.99 peratus, yang akan diterbitkan oleh 1MDB Energy Limited (diperbadankan di Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia) di 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012 dan 25 Sept 2012.

Fakta berkenaan, antaranya membabitkan Low Taek Jho, 38, atau dikenali sebagai Jho Low merupakan pengendali dan perantara utama bagi 1MDB, iaitu syarikat induk 1MDB Energy Limited.

Antara lain 1MDB Energy Limited and Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited) telah menandatangani satu “Collaboration Agreement For Credit Enhancement” bertarikh 21 Mei 2012 di mana 1MDB Energy Limited telah bersetuju untuk membayar Aabar Limited satu penambahan kredit dan sumbangan penaja jaminan secara tunai (Cagaran Peningkatan Kredit) sebagai ganjaran kepada Aabar Limited mendapat satu jaminan daripada International Petroleum Investment Company P.J.S.C. (IPIC), bagi pihak 1MDB Energy Limited, yang menjamin Nota-nota tersebut, dan Cagaran Peningkatan Kredit tersebut akan dibayar daripada hasil terbitan Nota-nota tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, Gnodde; Griffiths; Sherwood; Vince, Bolitho; Freemont-Smith; Towfigh; Parnell; Suk Bae Lee; Campbell-Breeden; Hayes; Naik; Evans, Kavvathas, Goh dan Claes didakwa telah meninggalkan beberapa fakta membabitkan isu sama berhubung penjualan Nota-Nota Terjamin Matang 2022 bernilai US$1.75 bilion dengan kadar faedah 5.99 peratus, yang akan diterbitkan oleh 1MDB Energy Limited (diperbadankan di Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia) di lokasi sama antara 10 Ogos dan 17 Oktober 2012.

Mengikut kenyataan itu lagi, bagi pertuduhan ketiga, Gnodde; Griffiths; Sherwood; Vince, Dahlback, Bolitho; Freemont-Smith; Towfigh; Parnell; Suk Bae Lee; Naik, Campbell-Breeden; Goh dan Liow dituduh membuat pernyataan yang tidak benar bagi penjualan US$3 bilion pada kadar faedah 4.4 peratus Nota-Nota Terjamin Matang 2023 yang akan diterbitkan oleh 1MDB Global Investments Limited (diperbadankan di British Virgin Islands) (1MDB GIL) di pejabat 1MDB antara 12 Mac dan 11 Nov 2013.

Fakta di dalam Pekeliling tawaran bertarikh 16 Mac 2013 bagi Nota-nota tersebut mengandungi “The Issuer will either on-lend all of the net proceeds of this Offering to ADMIC or use the net proceeds of the offering to fund its investment in ADMIC, which will be a 50:50 joint venture between the Issuer and Aabar” yang dibuat pada muka surat 24 di bawah tajuk “USE OF PROCEEDS”.

Sementara itu, Sherwood; Dahlback, Bolitho; Freemont-Smith; Towfigh; Parnell; Suk Bae Lee; Campbell-Breeden; Hayes; Naik; Goh dan Liow berdepan dengan tuduhan meninggalkan fakta-fakta material bagi penjualan US$3 bilion pada kadar faedah 4.4 peratus Nota-Nota Terjamin Matang 2023 yang akan diterbitkan oleh 1MDB GIL di pejabat 1MDB di sini antara 12 Mac 2013 dan 11 November 2013.

Fakta itu membabitkan Jho Low merupakan pengendali dan perantara utama bagi 1MDB, iaitu syarikat induk 1MDB GIL, yang perlu bagi menjadikan pernyataan yang dibuat di dalam Pekeliling Tawaran bertarikh 16 Mac 2013 bagi Nota-nota tersebut, iaitu, pernyataan berkenaan “Management of 1MDB” dan “Corporate Governance of 1MDB” yang dibuat pada muka surat-muka surat 37 ke 39.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1juta, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :