Gambar pesawat Airbus yang mendarat cemas di Moscow pada 15 Ogos 2019
AGENDAGLOBAL

20 cedera Airbus mendarat cemas di Moscow

20 cedera Airbus mendarat cemas di Moscow

MOSCOW, 15 OGOS: Sebuah pesawat Airbus yang membawa lebih 200 penumpang melakukan pendaratan kecemasan pada Khamis berhampiran Moscow sejurus selepas berlepas, menyebabkan kira-kira 20 orang cedera, termasuk lima kanak-kanak, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.

Penerbangan A321 Ural Airlines melakukan pendaratan itu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky, yang terletak di tenggara Moscow, selepas enjinnya dirempuh burung, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia.

Pesawat itu dalam perjalanan dari Moscow ke Simferopol di Crimea, dengan membawa 226 penumpang dan tujuh kru.

Sputnik melaporkan bahawa pesawat itu mendarat di sebuah ladang jagung berhampiran lapangan terbang tersebut.

Semua penumpang segera dibawa keluar dan mereka yang cedera dalam insiden itu telah dihantar ke beberapa hospital berhampiran.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Rusia pada Khamis, hanya seorang masih berada di sebuah hospital wilayah Moscow manakala 22 lagi telah dibenarkan pulang.

– BERNAMA


Pengarang :