Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail bergambar bersama 200 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dari enam sekolah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada program Seminar Sehari Pecutan di Ciast seksyen 19 Shah Alam.17 Ogos 2019.Foto REMYARIFIN/SELANGORKINI.
ADNSELANGOR

200 calon SPM DUN Batu Tiga didedahkan dengan aplikasi Osem

SHAH ALAM, 17 OGOS: Seramai 200 pelajar tingkatan lima dari enam sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga didedahkan dengan aplikasi pembelajaran untuk peranti pintar, Osem sempena program Seminar Sehari Pecutan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019, hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Rodziah Ismail berkata, teknik pengajaran baharu itu diperkenalkan bagi mendorong minat calon yang bakal menduduki SPM untuk mengulangkaji pelajaran secara lebih efisien seiring perkembangan teknologi masa kini.

Katanya, aplikasi dicipta dua panel penyelidik, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut memberi pilihan kepada anak-anak untuk memilih kaedah pembelajaran terbaik sesuai dengan minat serta citarasa mereka.

“Yang penting, kita mahu menanam kesedaran kepada mereka betapa pentingnya pembelajaran tambahan selain menyuntik motivasi untuk terus belajar, terutama dalam mempersiapkan diri menduduki peperiksaan besar itu nanti.

“Selain daripada apa yang mereka pelajari di sekolah atau kelas tuisyen sedia ada, aplikasi tambahan seperti Osem mampu memupuk perasaan suka dan teruja untuk belajar.

“Kita akan turut pantau melalui kumpulan untuk melihat prestasi anak-anak dari satu tahap ke satu tahap selama 57 hari sebelum SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turut serta memberi penerangan lanjut berkaitan penggunaan Osem kepada pelajar terbabit, di Dewan CIAST Seksyen 19, di sini hari ini.

Mengulas keistimewaan aplikasi dibangunkan sejak Januari 2017 itu, Rodziah yang juga EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi berkata, guru serta pelajar dikumpulkan dalam aplikasi berkenaan.

Katanya, pelajar juga boleh memilih untuk mengulangkaji kesemua mata pelajaran ditawarkan menerusi Osem yang mudah dipelajari.

“Ia mudah dan di mana-mana sahaja boleh belajar, malahan murid-murid tidak perlu menunggu guru untuk tahu jawapan mereka betul atau salah dan sekiranya salah mereka boleh buat pembetulan dengan baik.

“Ibu bapa yang sibuk dan tidak berkesempatan untuk melihat pembelajaran anak-anak melalui Osem mereka boleh memantaunya dari jauh,” katanya.

Terdahulu, seminar selama sehari itu menampilkan tetamu khas, Pakar Strategi Belajar, Dr Syukri Abdullah yang berkongsi tips dan teknik belajar dengan betul.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Dato’ Haizilan Alias; SMK Seksyen 19, Hashim Anang; SMK Seksyen 24(2), Arif Abdullah termasuk Penasihat Pendidikan Think Osem Sdn Bhd, Ika Farisa dan Farrah Leza Maideen.

Antara sekolah terbabit adalah SMK Seksyen 18; SMK Seksyen 19; SMK Seksyen 24(2); SMK Perempuan Bukit Kuda; SMK Sultan Abdul Samad dan SMK Seksyen 16.


Pengarang :