Selangorkini
AGENDA NASIONAL

228 taska sudah diwujud di tempat kerja sektor awam

KOTA KINABALU, 6 OGOS: Terdapat 228 taska di tempat kerja sektor awam di seluruh negara yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Julai lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menurut beliau, usaha menggalakkan agensi kerajaan mewujudkan taska masih diteruskan kerana menerusi audit dilaksanakan oleh kementerian itu menunjukkan terdapat 541 agensi kerajaan di seluruh negara belum ada kemudahan itu.

Katanya, kerajaan menerusi kementerian itu memberi komitmen mewujudkan lebih banyak taska di sektor awam dengan memperuntukkan RM10 juta pada tahun ini dengan 66 agensi kerajaan telah diluluskan menubuhkan taska di bawah geran ini.

“Kelulusan geran taska di tempat kerja sektor awam ini memberi keutamaan kepada agensi kerajaan yang berhasrat untuk menubuhkan taska, mempunyai permintaan yang tinggi daripada kakitangan dan beroperasi secara syif,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke taska di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, beliau turut menyampaikan mok cek berjumlah RM198,400 kepada Jabatan Cetak Kerajaan Sabah yang diterima oleh Pencetak Kerajaan Sabah [email protected] Mobiji.

Yeoh berkata, peruntukan yang diluluskan pada Mac dan April lepas itu telah pun diagihkan kepada semua agensi kerajaan di seluruh negara kecuali Jabatan Cetak Kerajaan Sabah yang baru saja diluluskan pada Julai lalu.

Beliau berkata, 37 agensi kerajaan yang menerima geran peruntukan kerajaan itu adalah yang beroperasi secara syif seperti hospital dan Jabatan Penjara yang menjadi keutamaan menerima geran itu.

Beliau berkata, menteri di kementerian itu yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menulis surat kepada semua Ketua Menteri dan Menteri Besar untuk memohon kerjasama memasukkan bajet mewujudkan taska di tempat kerja di agensi kerajaan negeri masing-masing.

Katanya, komitmen mewujudkan taska di sektor awam tidak boleh hanya diserahkan kepada kerajaan Persekutuan tetapi juga tanggungjawab bersama dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pewujudan taska di tempat kerja sektor awam itu merupakan komitmen kerajaan memastikan golongan wanita terus bekerja dan meringankan beban ibu bapa yang bekerja di sektor awam.

Sementara itu, beliau berkata, enam agensi kerajaan negeri Sabah antara penerima geran peruntukan mewujudkan taska di tempat kerja membabitkan peruntukan keseluruhan RM923,400.

Katanya, agensi berkenaan adalah Pejabat Setiausaha Persekutuan dengan geran peruntukan berjumlah RM193,000, Jabatan Penjara Negeri Sabah (RM21,000), Universiti Malaysia Sabah Kampus Sandakan (RM180,000), Maktab Rendah Sains Mara Sandakan (RM145,000), Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (RM186,000) dan Jabatan Cetak Kerajaan Sabah (RM198,400). – BERNAMA


Pengarang :