Raja Shahreen Raja Othman bergambar bersama Graduan Diploma Kemahiran Malaysia pada majlis Penghargaan Kakitangan MBI dan anak- anak syarikat di Auditorium UMW Toyota Traning Centre Seksyen 15 Shah Alam pada 16 Ogos 2019. Foto REMYARIFIN/SELAGORKINI
AGENSISELANGOR

23 kakitangan MBI, anak syarikat dianugerah Diploma Kemahiran Malaysia

SHAH ALAM, 16 OGOS: Sejumlah 23 graduan dalam kalangan kakitangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan anak syarikat berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Kemahiran Malaysia sekali gus melayakkan mereka menerima sijil masing-masing baru-baru ini.

Sijil berdasarkan kepada Pensijilan melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) itu dikeluarkan Badan Akreditasi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Kesemua graduan berkenaan diraikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman melalui satu majlis penghargaan di UMW Toyota Training Centre, di sini, pagi tadi.

Turut hadir Pengerusi MCS College Banting, Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr Shafie Mohd Salleh, CEO MCS College Banting, Dr Ravinthiran Ramasamy dan Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran MBI, Mohamad Zaidi Jaafar.

Raja Shahreen berkata, Diploma Kemahiran Malaysia telah diperkenalkan pada Oktober 2008 oleh Kementerian Sumber Manusia di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Latihan Vokasional Malaysia.

Katanya, diploma berkenaan turut diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam dan universiti-universiti tempatan di negara ini.

“Keseluruhan proses pensijilan adalah antara enam hingga sembilan bulan berdasarkan kepada kesungguhan dan komitmen calon yang terlibat.

“Tahniah kepada semua yang berjaya, semoga kejayaan ini dapat meningkatkan lagi kemahiran diri kita,” katanya.


Pengarang :