AGENDAGLOBAL

4 maut ditembak ketika hadir upacara pengebumian keluarga

Empat maut ditembak ketika upacara pengebumian keluarga

TEGUCIGALPA (Honduras), 7 OGOS: Sekumpulan lelaki bersenjata telah melepaskan tembakan rambang di satu upacara pengebumian di Honduras pada Selasa lalu menyebabkan empat orang daripada keluarga sama maut di utara bandar San Pedro Sula, lapor agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan polis.

Kesemua mangsa sedang mengebumikan Marlon David Portillo, 27, iaitu anak lelaki kepada pengedar dadah tempatan yang dikenali sebagai “Black Cat.”

Bapa si mati telah dibunuh pada tahun 2010 di Tegucigalpa bersama enam pengawal peribadi manakala anak lelakinya pula pada Ahad lalu di San Pedro Sula.

Polis berkata, sekurang-kurangnya lapan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari atas sebuah SUV di sebuah tanah perkuburan tempatan menyebabkan dua lelaki dan dua wanita maut, yang merupakan anggota keluarga Portillo. Tiga daripada mereka adalah sepupu anak lelaki Portillo.

Tiga lagi wanita dan seorang lelaki cedera dalam serangan itu dan telah dikejarkan ke sebuah hospital di kawasan tersebut.

Polis telah menutup jalan raya di bandar itu semasa mereka memburu pembunuh, yang menurut saksi memakai seragam tentera dan topeng muka.

Honduras memiliki kadar homisid tertinggi di dunia dengan purata 8.9 orang dibunuh setiap hari bagi nisbah 100,000 penduduk

– BERNAMA


Pengarang :