AGENDANASIONAL

45 persatuan alumni UiTM digabung

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti pertama di Malaysia memperkenal Gabungan Alumni UiTM bagi menyatukan kesemua persatuan alumni universiti itu di bawah satu gabungan.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kasim berkata, gabungan ini bertujuan memperkasa persatuan-persatuan alumni, sekali gus memperkukuh hubungan antara alumni dan universiti.

“Sebelum ini, persatuan-persatuan alumni UiTM yang diasaskan oleh fakulti, cawangan dan sebagainya tidak bergerak bersama. Tujuan gabungan ini adalah supaya kita dapat gerakkan keseluruhan alumni kita untuk membantu UiTM khususnya dalam memperkasa graduan.

“(Gabungan ini akan) membantu menyediakan graduan agar mereka dapat bersaing apabila mereka keluar dan berkongsi pengalaman bersama alumni yang berjaya untuk menjadi usahawan yang berjaya satu hari kelak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gabungan Alumni UiTM di sini, hari ini.

Pada masa ini, terdapat 45 persatuan alumni UiTM didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di seluruh negara dengan keanggotaan 815,353 orang dan merupakan jumlah alumni terbesar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara.

Mohd Azraai, selaku Yang Dipertua Gabungan Alumni UiTM berkata, melalui gabungan ini, pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan dan diselaras contohnya inisiatif bagi meningkatkan tabung endowmen UiTM bagi membantu dan menyokong aktiviti komuniti pelajar, dermasiswa dan juga tajaan penyelidikan.

“Ini merupakan platform alumni menyalurkan bantuan dan sokongan mereka kepada universiti dalam aspek pembelajaran dan pengajaran serta meningkatkan fasiliti dan kemudahan sedia ada.

“Gabungan ini dilihat dapat membantu meningkatkan profil UiTM di peringkat antarabangsa kerana ramai dalam kalangan alumni kita sudah berjaya bahkan memimpin konglomerat besar,” katanya.

Menurut Mohd Azraai, UiTM bakal menubuhkan sekretariat sepenuh masa dan portal dalam talian sebagai platform untuk mengetengahkan aktiviti anggota gabungan, selain urusan pendaftaran keanggotan.

Pada 22 Mei lepas, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir mencadangkan persatuan-persatuan alumni UiTM digabungkan di bawah satu ‘payung besar’ bagi memberi manfaat kepada institusi itu khususnya penuntut UiTM.

– BERNAMA


Pengarang :